KOTA KINABALU - Operasi bersepadu bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di neÂgeri ini wajar berjalan lancar tanpa diganggu oleh sentimen-sentimen tidak sihat yang mampu menjejaskan pelaksanaannya.
Demikian ditegaskan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Rodzi Md. Saad yang turut menyeru semua pihak supaya bersatu dan berazam untuk membanteras isu PATI secara menyeluruh serta tidak mencampuradukkan dengan niat dan kepentingan lain.
Katanya, hal demikian kerana pelaksanaan operasi bagi membanteras PATI di negeri ini adalah berpandukan peraturan tetap operasi (PTO) melalui perintah gerakan yang dikeluarkan.
“Ini adalah operasi yang mengintegrasikan pelbagai agensi kerajaan termasuk polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Operasi ini diterajui dan diÂselaraskan oleh MKN negeri dan dijalankan secara telus, berintegriti serta berasaskan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa bagi setiap agensi terlibat,†katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan seorang pemimpin pembangkang yang mempersoalkan tindakan ‘menghantar’ 285 orang yang ditahan dalam satu operasi MKN di Keningau baru-baru ini untuk proÂses dokumentasi.
Rodzi memberitahu, operasi bersepadu menangani PATI di negeri ini adalah tindakan berterusan kerajaan untuk mengesan, menangkap dan mengusir golongan itu keluar dari negeri ini.
Katanya, serbuan serta tangkapan dilakukan di kawasan-kawasan penempatan, rumah setinggan atau rumah kongsi yang dipercayai dihuni oleh PATI dan semua dokumen mereka akan diperiksa oleh Jabatan Imigresen negeri dan JPN untuk disahkan ketulenannya.
“Jika didapati dokumen-dokumen tersebut diragui, contohnya dalam bentuk salinan fotostat, mereka akan dibawa ke pusat penapisan yang juga merupakan pusat dokumentasi, bertujuan untuk diteliti semula semua dokumen yang ditunjukkan oleh PATI melalui pangkalan data agensi masing-Âmasing,†katanya.
Beliau berkata, jika diperakukan bahawa dokumen itu adalah sah, mereka akan dibebaskan manakala yang tiada dokumen yang sah atau gagal tapisan akan ditahan serta direman di pusat tahanan sementara (PTS) untuk tujuan pengusiran atau pendakwaan di mahkamah.
Berhubung dakwaan seramai 285 orang dibawa untuk tapisan dan kemudiannya seramai 83 orang dibebaskan, tegasnya, perkara itu bermakna mereka mempunyai dokumen yang sah untuk membolehÂkan mereka berada di Sabah.
“Kita ingin menegaskan operasi bersepadu tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berjaya tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak khususnya majikan dan penduduk setempat.
“Di sini kita merayu kepada pemimpin berkenaan, jika mempunyai maklumat berkaitan PATI seperti yang didakwa, MKN serta pasukan operasi pelbagai agensi mengalu-alukan beliau tampil untuk membantu pasukan operasi,†tegasnya.
Sumber : Utusan