KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang merangka penambahbaikan dalam kaedah pengurusan dan prosedur pengendalian tahanan di seluruh negara bagi memastikan kebajikan dan kepentingan awam termasuk tahanan di lokap dijaga sewaktu siasatan dilakukan. Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata penambahbaikan itu bertujuan memperbaiki kekurangan atau kelemahan yang wujud dalam memastikan tahap kesihatan dan keselamatan setiap tahanan berada dalam keadaan yang baik dan terjamin. "Antara penambahbaikan itu adalah memberi keutamaan kebajikan tahanan seperti pembekalan makanan dan minuman yang mencukupi serta keadaan lokap itu sendiri agar kesihatan mereka terjaga," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) bersama Jawatankuasa Pelaksana (JKP) SIAP Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini hari ini. Malah, katanya anggota yang bertugas juga akan dilatih semula agar sentiasa peka dan memantau tahap kesihatan setiap tahanan mengikut sistem prosedur yang lebih berkesan dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Sementara itu, Pengerusi SIAP Datuk Yaacob Md Sam berkata perbincangan yang dibuat dengan PDRM itu bertujuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai melalui perkhidmatan yang lebih berkesan dan telus bagi menjamin kebajikan setiap tahanan. "Jika dilihat statistik kadar kematian tahanan pada 2010 hingga 2014, sebanyak 51 kematian tahanan di lokap dilaporkan termasuk enam tahanan menghidap serangan jantung, HIV (satu) dan lain-lain (38)," katanya. Beliau berkata pemindaan dan penambahbaikan bakal dibuat dalam undang-undang negara. Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan setiap tahanan terjamin, penambahbaikan perlu dibuat terutama bagi mengurangkan kadar kematian tahanan selepas tangkapan dan sewaktu dalam siasatan pihak berkuasa, katanya. -- BERNAMA

Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.