PENGARAH Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md Ismail. - Foto ihsan The Star
KUANTAN: Aspek penyiasatan dan perkhidmatan kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah aduan paling kerap diterima daripada orang awam, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md Ismail.
Beliau berkata, jabatan itu menerima lebih 2,000 aduan setahun, dengan purata antara 200 hingga 300 aduan sebulan.
"Aduan ini menunjukkan masalah integriti hanya berlaku pada 10 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota dan dua aspek yang dinyatakan adalah aduan yang paling kerap diterima.
"Manakala bagi aduan berkaitan rasuah, ia tidak banyak dilaporkan, iaitu pada 0.02 peratus sahaja, berbanding dengan persepsi masyarakat terhadap pihak berkuasa ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara di sini, semalam.
Zubaidah berkata, JIPS mempunyai lebih 20 saluran untuk orang ramai menyalurkan aduan termasuk menerusi media sosial dan talian hotline.
Katanya, pihaknya menjangkakan keyakinan masyarakat terhadap PDRM akan meningkat susulan langkah proaktif yang diambil untuk menyelesaikan aduan berkenaan.
Pada kejohanan itu, kontinjen Selangor mengekalkan kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut dengan kontinjen Bukit Aman muncul naib johan dan Negeri Sembilan di tempat ketiga manakala tuan rumah Pahang sekadar di tempat keempat.
-BERNAMA
Sumber : Berita Harian