KUALA LUMPUR 15 Mac – Pegawai Jabatan Imigresen di peringkat daerah perlu dipantau bagi memastikan mereka tidak terlibat bersekongkol dengan majikan dalam melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, jika didapati terlibat termasuk membocorkan maklumat operasi, pegawai berkenaan perlu dikenakan tindakan tegas.
Katanya, langkah itu amat penting bagi memastikan kemasukan PATI dapat dikekang secara efesien sekali gus membendung kebanjiran warga asing ke negara ini.
“Jabatan Imigresen tidak boleh ada alasan kebocoran maklumat operasi untuk membanteras kegiatan melindungi PATI.
“Malah, jika Akta Imigresen tidak mencukupi, jabatan tersebut perlu mengunakan Kanun Keseksaan untuk mengambil tindakan bersama terhadap majikan dan pihak yang melindungi PATI,†katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau juga mendakwa, maklumat operasi Jabatan Imigresen bagi membanteras PATI juga bocor sehingga menimbulkan persoalan siapa sebenarnya menjadi dalang yang bersedia berbuat demikian.
Semalam, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R. Ramakrishnan mempersoal kenapa sehingga ke hari ini tiada majikan PATI yang ditahan mahupun didakwa.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) dirombak supaya lebih telus dan saksama.
Katanya, individu yang mempengerusikan jawatankuasa itu juga hendaklah dipilih bukan dalam kalangan agensi penguat kuasa sebaliknya terdiri daripada pihak bebas seperti bekas hakim.
“Perubahan ini harus dimasukkan dalam cadangan pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.
“Malah, pihak MAPO harus keluarkan laporan mingguan tentang tindakan dan keberkesanan,†ujarnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Reghu Devan Lopez pula mendesak Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih serius dalam menangani isu lambakan pekerja asing demi menjaga kepentingan rakyat.
Katanya, tindakan tegas harus diambil terhadap majikan yang bertanggungjawab menyebabkan punca lambakan itu berlaku bukan sahaja di Cameron Highlands malah di mana-mana kawasan di negara ini.
“Malah, saya lihat warga asing ini sapu bersih peluang kerja orang tempatan. Ini sekali gus menjadikan ruang pekerjaan dalam kalangan generasi muda semakin sempit,†katanya.
Sumber : Utusan Online