KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerbitkan Jurnal Integriti sebagai sumber panduan dan maklumat terbaharu berkenaan PDRM yang bukan sahaja akan memanfaatkan warganya, malah kepada komuniti serta masyarakat. Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata penerbitan jurnal ini memuatkan tiga aspek mencakupi aspek keselamatan, agama dan psikologi anggotanya. "Jurnal ini turut membincangkan permasalahan kerjaya mahupun keluarga dengan lebih terperinci. Jika ada keperluan, jurnal ini akan diterbitkan secara tahunan dan akan disebarkan kepada semua pegawai dan anggota di seluruh negara," katanya kepada sidang media selepas merasmikan Karnival BAKA, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman, di sini. Karnival yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada warga PDRM untuk mendapatkan maklumat mengenai masalah psikologi, suatu isu yang sebelum ini kurang mendapat perhatian yang sewajarnya. Pada majlis itu juga, Noor Rashid turut merasmikan sistem dalam talian yang dikenali sebagai 'Sistem Online BAKA' sebagai pangkalan data utama JIPS daripada Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA). "Sistem ini diwujudkan bagi memberikan perkhidmatan kaunseling, psikologi serta agama serta menyediakan diari, aktiviti harian setiap pegawai dan anggota di semua peringkat Bukit Aman, kontinjen serta formasi. "Selain itu, sistem itu turut memantau hasil kerja psikologi, pegawai hal ehwal agama, para kaunselor PDRM dan ahli-ahli AKRAB (Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam)," kata Noor Rashid. Turut hadir dalam majlis itu, Pengarah JIPS Datuk Zubaidah Md Ismail. Menurut Noor Rashid, menariknya mengenai sistem dalam talian itu menggunakan sepenuhnya kepakaran pegawai PDRM tanpa melibatkan sebarang kos. Sejak BAKA ditubuhkan pada 24 Julai 2007, sejumlah 2,087 kes-kes kaunseling dirujuk kepada pihak BAKA. BAKA mempunyai 118 Pegawai Psikologi dan 960 Pegawai Hal Ehwal Agama Islam.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.