ADALAH sesuatu yang membanggakan apabila mendengar berita bagaimana kira-kira sejuta permohonan diterima bagi mengisi 10,000 kekosongan termasuk 2,000 jawatan inspektor dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)).
Jumlah sebanyak itu membuktikan profesion dalam bidang kepolisan semakin diminati walaupun dalam masa yang sama PDRM menerima pelbagai tohmahan dan kecaman dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan negara.
Sesungguhnya PDRM tetap menjadi harapan rakyat. Rakyat boleh tidur lena siang dan malam serta mampu menjalankan aktiviti harian dengan aman disebabkan keupayaan PDRM memastikan keÂamanan dan ketenteraman awam.
Oleh itu, peningkatan permohonan untuk menjadi ahli keluarga PDRM boleh dianggap penyuntik semangat dan pengiktirafan masyakat terhadap betapa penÂtingnya peranan pasukan itu dalam menjaga keselamatan negara.
Walaupun ada sesetengah pihak melihat polis seperti musuh mereka, tafsiran itu wujud hanya kerana mereka menganggap PDRM adalah ejen kerajaan semata-mata. Dan sudah pastilah ia melalui pandangan politik yang sempit.
Tetapi setakat ini, masyarakat tetap yakin dengan keupayaan PDRM. Pelbagai tohmahan yang dilemparkan sedikitpun tidak menjadi kudis apatah lagi menggugat semangat pegawai dan anggota pasukan itu menjalankan tanggungjawab mereka.
Apapun yang hendak dikatakan, PDRM tetap profesional dalam menjalankan tugas mereka. Cuma malangnya masih ada yang memandang serong kepada pasukan itu akibat sikap segelintir anggotanya yang membuat onar. Bak kata pepatah kerana seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit .
Justeru adalah wajar ketika keterujaan orang ramai untuk menjadikan profesion kepolisan sebagai salah satu kerjaya pilihan, pengurusan PDRM mempertingkatkan lagi integriti pegawai dan anggotanya. Ini memandangkan pegawai dan anggota pasukan tersebut bukan sahaja perlu bersih malah harus dilihat bersih. Apabila ini dapat dilakukan sudah pastikan PDRM akan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Bagaimanapun kita harus faham pada setiap masa PDRM tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang melanggar undang-undang. Mereka tetap dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang kerja.
Dalam soal ini, pengurusan PDRM bukanlah bercakap kosong tetapi sudah dibuktikan dengan tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit. Kewujudan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JPS) sudah membuktikan keseriusan PDRM dalam meningkatkan integriti pegawai dan anggotanya.
Namun begitu, kita masih mendengar dakwaan mengenai penglibatan segelintir pegawai dan anggota polis dengan sindiket khususnya seperti aktiviti judi haram. Kalaulah benar wujud, mereka harus dibanteras habis-habisan. Kelompok seumpama ini tidak boleh dibenarkan sama sekali wujud dalam PDRM.
Sebab itulah pengurusan PDRM tidak boleh memandang ringan sebarang aduan yang dibuat oleh orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung soal integriti segelintir pegawai dan anggota pasukan tersebut.
Siasatan rapi perlu dijalankan secara telus, adil dan saksama. Mereka yang disyaki terlibat harus dikenakan tindakan sekeras-kerasnya. Masyarakat bukannya tidak memahami bahawa mereka memerlukan PDRM bagi membanteras kegiatan haram seperti mana judi haram yang cukup merosakkan masyarakat tetapi akibat tindakan segelintir anggota PDRM yang mahu hidup mewah dengan menjamah wang haram, satu pasukan menerima nama buruk.
Atas dasar itulah, PDRM tidak boleh sama sekali bertolak ansur atau berkompromi dengan sesiapa juga yang cuba menjadikan pasukan itu sebagai ‘lubuk’ untuk hidup mewah dengan sanggup menjual maruah, martabat dan integriti pasukan. Tetapi kita percaya, PDRM mempunyai barisan pengurusan yang berwibawa bagi menguruskan ‘virus-virus’ seumpama itu. Berikutan kemampuan itulah, PDRM sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat, jumlah permohonan untuk menÂyertai pasukan itu adalah buktinya.
Sumber : Utusan Online