JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan 19,462 orang termasuk warga asing atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 542.34 kilogram yang dianggarkan bernilai RM30.57 juta di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua yang ditahan merupakan sebahagian daripada 92,868 orang yang diperiksa oleh pihaknya.
“Daripada jumlah yang ditahan, 1,941 orang adalah pengedar dadah manakala 3,495 individu melakukan kesalahan memiliki dadah, penagih (13,946) dan dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) seramai 80 orang.
“Seramai 273 orang yang ditahan merupakan warga asing dan kita turut menyita harta bernilai anggaran RM10 juta,†katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri wartawan dari Singapura di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, sejak awal tahun ini hingga Khamis lalu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 3,966 orang dan menahan 1,872 orang termasuk 23 warga asing atas pelbagai kesalahan dadah.
Daripada jumlah yang ditahan, 249 orang adalah pengedar dadah manakala 405 orang memiliki dadah, penagih (1,210) dan LLPK (lapan).
“Kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 10.12 kilogram yang dianggarkan bernilai RM380,000 dan menyita harta bernilai RM1.5 juta.
“Justeru, kita bertekad untuk meneruskan operasi dan usaha membasmi penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri ini kerana dadah merupakan satu ancaman dan boleh membawa kecenderungan berlakunya jenayah,†katanya.
Sumber : Utusan Online