Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam satu kenyataan berkata, agensi penguatkuasaan perlu menggunakan meka­nisme baharu yang lebih efektif bagi memastikan setiap tahanan dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

Katanya, setiap pesalah perlu dibawa ke pusat perubatan bagi pemeriksaan dan rawatan terutama tahanan penagih dadah tegar yang diklasifikasikan sebagai pesakit.

“Mereka perlu ditempatkan di wad atau lokap khas untuk membolehkan rawatan dan pemeriksaan dapat dilakukan serta mengenal pasti setiap kemungkinan penyakit yang mereka hidapi.

“Tahanan juga perlu diberi kelonggaran untuk membuat aduan berhubung penyakit yang dialami oleh mereka supaya rawatan susulan dapat dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, EAIC berkata, lokap juga perlu dibekalkan dengan kemudahan lebih baik dan sempurna termasuk kemudahan asas.

Katanya, antara wajar diberi perhatian ialah tahap keselamatan tinggi selain memastikan sistem pengudaraan dan pencahayaan yang baik.

“Selain itu, agensi penguatkuasaan perlu menambah jumlah keanggotaan supaya kekerapan rondaan dipertingkatkan sekali gus dapat memantau keadaan tahanan.

“Prosedur operasi standard (SOP) khusus perlu di wujudkan untuk mengendalikan tahanan narkotik, pemabuk serta kanak-kanak dan juga tahanan yang mengalami masalah mental seperti trauma,” katanya.

Sumber : Utusan