PUTRAJAYA - Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Kerja Mengenai Pendatang Asing Sabah berÂusaha menangani setiap isu seÂperti yang tercatat dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di negeri tersebut khususnya berkaitan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sehubungan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ketua Pengarah JPN, Datuk Sulaiman Keling dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim turut berada dalam kedua-dua jawatankuasa berkenaan sebagai pakar rujuk berhubung masalah pendatang asing di Sabah.
“Melalui keanggotaan Ketua Pengarah Imigresen bersama-sama Ketua Pengarah JPN dalam jawatankuasa tetap dan jawatankuasa kerja sebagai pakar rujuk dilihat mampu menentukan semua perkara yang menjadi kerunsingan dan kegelisahan seperti tercatat dalam laporan RCI akhirnya dapat ditangani khususnya oleh JPN,†katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan mengejut di kaunter JPN di ibu pejabat JPN, di sini hari ini.
Dua jawatankuasa itu telah ditubuhkan selepas pengumuman laporan RCI mengenai pendatang tanpa izin di Sabah yang bertujuan mendapatkan maklum balas, aduan dan pandangan daripada seluruh masyarakat berhubung isu tersebut.
Jawatankuasa tetap itu diÂpenÂgerusikan bersama Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman manakala jawatankuasa kerja pula dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Dalam perkembangan berkaitan Ahmad Zahid berkata, dari segi terma rujukan, jawatankuasa tetap mempunyai lima bidang manakala jawatankuasa kerja melibatkan tiga bidang.
Ujarnya, antara terma rujukan itu termasuk mengkaji syor-syor laporan RCI juga menentukan supaya pemberian warganegara kepada pemohon-pemohon warganegara asing yang berkelayakan dapat diteliti semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu mengikut peraturan dan undang-undang imigresen di Sabah.
“Perlu diketahui bahawa undang-undang imigresen di Sabah dan Sarawak berbeza dengan Semenanjung apabila undang-Âundang berkenaan tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,†katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua surat pelantikan anggota kedua-dua jawatankuasa tersebut telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam perkembangan lain beliau menghargai komitmen bahagian kaunter JPN hingga dianugerahkan sebagai pemenang perkhidmatan kaunter terbaik antara jabatan-jabatan kerajaan.
Beliau berkata, kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan JPN dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.
“JPN juga telah dianugerahkan sebagai jabatan yang memperoleh indeks pengurusan kewangan yang terbaik. Ini merupakan pengiktirafan kepada JPN, bagaimanapun JPN akan terus mempertingkatkan prestasi di perkhidmatan lain di samÂping mempertahankan prestasi yang baik terutama perkhidmatan yang berurusan dengan orang ramai,†katanya lagi.
Menjawab satu soalan beliau berkata, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa melakukan pemantauan berterusan termasuk buku-buku yang menjurus kepada aktiviti militan.
“Rampasan-rampasan juga kita lakukan berdasarkan siasatan dan aduan daripada orang ramai. Tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap penerbit dan pengedar berkenaan.
“Oleh itu saya minta orang ramai yang ada maklumat berhubung penjualan atau pengedaran sila beritahu segera ke Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN supaya bahagian penguat kuasa unit itu boleh turun ke bawah bagi membolehkan tindakan diambil,†katanya.
Sumber: Utusan Online