Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi, seorang pekerja pembersihan yang diupah penyewa baharu premis berkenaan terkejut selepas membuka beg berwarna hitam yang diletakkan berhampiran pendingin hawa yang mahu dicucinya.

Shamsudin Suzani, 65, berkata, dia menggigil melihat bom berkenaan dan terus menghubungi polis.

“Sepanjang hidup, inilah pengalaman paling menakutkan dan saya risau jika bom itu meletup,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati dua butir bom tangan yang ditemukan dalam beg itu adalah jenis Agnes 73 manakala satu lagi jenis PRB 423.

Katanya, selain bom itu, turut ditemukan dalam beg berkenaan adalah empat kelopak Rifle M16 dan 76 peluru 5 MM WCC.

“Jika bom itu meletup, mampu memusnahkan premis berkenaan dan kawasan sekitarnya. Semua barang berkenaan telah diambil polis untuk dianalisis dan siasatan lanjut sedang dijalankan,“ katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Pada 6 Januari lalu, sepasukan anggota daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menyerbu salon berkenaan dan berjaya menahan tiga lelaki bersama tiga paket dadah disyaki syabu dan sejak itu salon berkenaan ditutup.

Mior Faridalathrash berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

Sumber: Utusan Online