Semua heroin seberat 56 kilogram itu disembunyikan di ruangan khas dalam empat almari kayu yang dipercayai dibuat di Pakistan.

Dalam serbuan tersebut, seramai 10 ahli perniagaan perabot yang terdiri daripada enam warga Pakis­tan dan empat warga Indonesia diberkas. Turut ditahan ialah dua lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan yang dibuat sejak beberapa bulan lalu mendapati terdapat sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan ke­sempatan menyeludup masuk dadah melalui barangan perniagaan yang diimport.

Menurutnya, ketika menjalankan serbuan pertama pada pukul 1.30 pagi, polis menemukan 72 perabot pelbagai jenis di dalam sebuah rumah kedai dua tingkat di Semenyih.

“Dalam serbuan itu juga, polis menemukan semua heroin tersebut yang disembunyikan dalam rua­ngan khas di dalam empat almari kayu berkenaan.

“Polis juga menyita dua ken­deraan iaitu masing-masing sebuah kereta jenis Proton Persona dan Iswara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Sela­ngor, Datuk Abdul Samah Mat.

Noor Rashid memberitahu, rentetan serbuan tersebut, polis melakukan serbuan yang kedua di Bandar Sri Tanjung, Semenyih pada kira-kira pukul 2.15 pagi.

Katanya, di lokasi kedua, pihak­nya menahan dua lelaki warga Pakistan yang dipercayai merupakan ahli sindiket dadah yang sama.

“Dalam serbuan itu, polis mene­mukan sebungkus plastik seberat 83 gram mengandungi daun kering dipercayai daun khat iaitu dadah jenis baharu yang disukai penagih dari negara Asia Barat dan menyita sebuah kereta Perodua Kancil,” ujarnya.

Semua suspek berusia antara 26 hingga 62 tahun itu direman hingga 30 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sumber: Utusan Online