KANGAR 13 Jan. – Perokok di negeri ini diberi amaran supaya tidak ingkar dengan peraturan di kawasan yang diwartakan dilarang merokok kerana pihak penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri bersedia untuk bertindak mengeluarkan kompaun.

Pengarahnya, Dr. Zaini Hussin berkata, ini kerana sehingga sejak Januari hingga November tahun lalu, pihaknya melaksanakan 530 operasi di kawasan larangan merokok di negeri ini.

“Pegawai penguat kuasa kami sentiasa berada di kawasan ini untuk memastikan setiap perokok yang melanggar peraturan tidak dilepaskan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Zaini berkata, sejak Januari hingga November tahun lalu, sebanyak 1,400 notis kompaun dikeluarkan ke atas individu kerana kesalahan merokok di tempat yang diwarta sebagai kawasan larangan merokok

“Sehingga kini, kita berjaya megutip kompaun RM43,055,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, belum ada lagi kes perokok di negeri ini yang dihadapkan ke mahkamah kerana individu berkenaan membayarnya dalam tempoh ditetapkan.

Zaini berkata, semua individu itu dikompaun kerana didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Katanya, setiap pesalah boleh dikenakan kompaun RM250 dan bagi yang berumur 18 tahun ke bawah RM50.

“Jika gagal membayar kompaun, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah di mana boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan,'' katanya.

Beliau berkata, tempoh untuk menjelaskan bayaran kompaun itu diberikan selama sebulan sahaja.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.