PETALING JAYA: Kebocoran maklumat penyebab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan polis marin sukar melindungi nelayan pantai Tanjung Piandang, Perak daripada ancaman bot kenka.

Bukan sahaja pengusaha bot kenka memasang pemerhati untuk mengetahui pergerakan bot peronda, malahan mereka juga mahukan maklumat identiti pengadu dan laporan kejadian untuk tindakan susulan.

Kebocoran maklumat, di samping lima faktor lain, dikenalpasti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai punca kelemahan dan ketiadaan penguatkuasaan undang-undang oleh tiga agensi itu.

“Berlaku kebocoran maklumat berkenaan pergerakan bot peronda APMM dan Jabatan Perikanan ke lokasi pencerobohan melalui “tonto-tonto” yang beroperasi di kawasan pantai tersebut kepada penguasaha bot-bot kenka dua bot menyebabkan pencerobohan tidak dapat diambil tindakan penguatkuasaan.

“Disamping itu terdapat kejadian di mana identiti pengadu yang membuat pengaduan atau laporan tentang kejadian pencerobohan bot-bot kenka telah dibocorkan oleh pihak-pihak tertentu kepada penguasa bot-bot kenka yang akibatnya boleh mendatangkan ancaman keselamatan diri atau harta ke atas pengadu atau nelayan-nelayan pantai yang berkenaan,” menurut Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam dalam satu kenyataan yang diterima FMT.

Menangani capaian pengusaha bot kenka serta faktor lain, EAIC mengesyorkan 21 langkah bagi diambil tindakan oleh ketiga agensi terbabit, termasuk:

  • APMM mengemaskini tatacara pengendalian piawai (SOP) bagi melindungi maklumat dan identiti pemberi maklumat.
  • DOF dijadikan agensi peneraju penguatkuasaan bersepadu dengan penglibatan APMM, polis marin dan wakil nelayan.
  • DOF dijadikan agensi peneraju mesyuarat peringkat tertinggi dan daerah dengan penglibatan APMM, polis marin dan wakil nelayan.
  •  Melakukan pemantauan dan operasi secara mengejut dan berjadual.

“Masalah dan isu pencerobohan bot-bot kenka dua bot di kawasan perairan pantai Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Perak telah berlaku sejak tahun 2007 dan berterusan sehingga kini,” tegas Yaacob.

“Ketiadaan tindakan yang pro-aktif dan berkesan oleh agensi penguatkuasaan, terutamanya pihak APMM sebagai agensi peneraju penguatkuasaan telah diambil kesempatan oleh pengusaha bot-bot kenka bagi mencerobohi kawasan tangkapan yang mereka tidak dibenarkan beroperasi.”

Sumber : Free Malaysia Today

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.