KOTA BHARU - Keinginan untuk memiliki kereta mewah dan mahu bergaya mendorong ramai penjawat awam di negeri ini sanggup membeli kereta klon yang jauh lebih murah dari harga kereta sebenar.
Walaupun mereka mengetahui hakikat milikan itu tidak berdaftar dan lulus spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun niat untuk bergaya dan mengikut trend terkini menyebabkan mereka tidak mengendahkan penguatkuasaan undang-undang.
Pengarah JPJ negeri, Mahasan Mustapa berkata, setakat Januari 2016 hingga September lalu, sebanyak 67 kereta klon pelbagai model telah disita dan pihaknya memperoleh RM258,700 dari jumlah denda yang dibayar.
“Kita lihat majoriti pemilik kereta klon merupakan penjawat awam dan mereka tertarik membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) termasuk Toyota Vallfire dan Toyota Estima ekoran harga yang ditawarkan hanya bernilai RM30,000 hingga RM20,000 untuk sebuah kereta, berbanding harga sebenar mencecah RM200,000,†katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini semalam.
Terdahulu, beliau turut menghadiri majlis penyerahan lima unit Ford Ranger dan motosikal Kawasaki kepada pegawai penguatkuasa bagi memudahkan tugas-tugas rondaan, termasuk di di stesen penguatkuasa di Kuala Balah di Jeli, Bukit Jawa di Pasir Puteh, Labok di Machang, Laloh di Kuala Krai dan di JPJ Panji di Kota Bharu.
Mahasan berkata, penjawat awam yang ditahan, apabila ditanya mengaku tidak mengetahui memiliki kereta klon itu salah namun sebenarnya mereka hanya berselindung kononnya tidak mengetahui hal terbabit.
“Saya menasihatkan supaya orang ramai berhati-hati jika mahu membeli kereta mewah memandangkan harga yang ditawarkan jauh lebih murah dan caranya juga dijual secara langsung oleh orang yang dikenali termasuk melalui laman sosial Facebook.
“Sepatutnya pelanggan perlu bijak dan jika menghadapi situasi seperti itu, teruslah datang ke JPJ dan minta khidmat nasihat kami sebelum bertindak memandangkan jika kita kesan mereka gunakan kereta klon, bukan sahaja kereta akan dirampas malah pemiliknya akan mengalami kerugian berlipat kali ganda,†katanya.
Sumber : Sinar Harian Online