ARAU - Polis Perlis akan mempertingkat kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi menangani isu tonto di sempadan Perlis-Thailand.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, polis tidak akan berkompromi terutamanya bagi menangani kegiatan penyeludupan di sempadan negara secara serius, meskipun berdepan tindakan ganas tonto yang sukar dijangka.
"Polis akan terus bekerjasama sebaik mungkin untuk membantu pihak kastam ketika menjalankan operasi penguatkuasaan, pada masa sama meningkatkan langkah pencegahan yang lebih proaktif dalam berdepan aktiviti tonto," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kematian seorang pegawai wanita kastam Anisah Ali, 54, yang meninggal dunia Sabtu lepas, selepas koma apabila kenderaan yang dinaikinya dirempuh kenderaan tonton di Pasir Mas, Kelantan, Jumaat lalu.
Ab Rashid ditemui selepas Majlis Kacau Bubur Asyura dan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof.
Menurut Ab Rashid, buat masa ini belum ada kes melibatkan tonto di Perlis sepanjang tahun ini. - Bernama
Sumber : Sinar Harian Online