PENGKALAN HULU: Seorang konstabel polis berusia 32 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang guru didakwa dipukul ketika balik mengajar kelas tambahan di Lenggong, minggu lalu.
Majistret Nasrul Hadi Abdul Ghani membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek sehingga Sabtu ini.
Malam tadi, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi mengesahkan pihaknya menahan seorang anggotanya berhubung dakwaan seorang guru cedera ketika ditahan suspek dan seorang rakannya dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam 30 Ogos lalu.
Katanya, suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun serta boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Klip video kejadian itu yang berdurasi 20 minit kemudian menjadi viral di laman sosial.
Sumber : Berita Harian Online