SHAH ALAM: Bekas pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah menerima tiga suapan berjumlah RM21,000, lapan tahun lalu. Bagaimanapun, tertuduh, Nik Azainoon Nik Aziz, 54, hanya akan menjalani hukuman penjara empat tahun mulai hari ini selepas Hakim Asmadi Husin memerintahkan hukuman terbabit berjalan serentak. Asmadi turut menjatuhkan hukuman denda RM105,000 terhadap tertuduh dan jika gagal membayarnya, dia diperintahkan menjalani tambahan 12 bulan penjara. Dalam prosiding sama, rakan subahat Nik Azainoon, Roslan Jali, yang bekerja sebagai juruelektrik, turut dijatuhkan hukuman penjara empat tahun selepas didapati bersalah bersetuju menerima dua suapan berjumlah RM11,000 bagi pihak Nik Azainoon. Roslan, 49, turut didenda RM55,000 dan hukuman penjara tambahan tujuh bulan jika gagal membayar denda. Kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan itu antara 5 November 2008 hingga 4 Februari 2009 di Restoran Starwalk Cafe and Bakery, Taman Dagang Ampang dan Restoran A&W Petaling Jaya. Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Sukri Seman mengikut Seksyen 10 (A)(B) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Sumber: Berita Harian