KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mempertahankan laporannya yang mendapati penggunaan kekerasan fizikal oleh pihak polis sebagai antara punca kematian tahanan N Dharmendran pada 2013.
Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Yaacob Md Sam menggesa agar mana-mana pihak yang ingin memberi komen agar membaca terlebih dahulu laporan tersebut.
“Ia satu laporan yang komprehensif. Saya sendiri ambil masa tiga hari untuk menghabiskan dan memahami laporan tersebut,†katanya kepada media selepas program meja bulat ‘Menggalakkan Akauntabiliti Polis di Malaysia’ anjuran Majlis Peguam Negara, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyifatkan kenyataan EAIC dalam isu kematian Dhramendran sebagai prejudis dan subjudis untuk dibincangkan di luar mahkamah.
Khalid turut berkata, kenyataan EAIC boleh melahirkan tanggapan bahawa polis gagal mengambil tindakan terhadap empat anggota polis terlibat.
Dalam perkembangan lain, Yaacob berkata, Seksyen Aduan yang ditubuhkan di bawah EAIC akan memberi tumpuan terhadap aduan orang ramai berkaitan salah laku anggota polis.
Katanya, setakat ini seksyen tersebut mempunyai 16 pegawai penyiasat yang terdiri daripada peguam sejak ditubuhkan 15 Disember2015.
“Memandangkan banyak aduan yang dibuat terhadap polis, kami sudah lengkapkan penstrukturan seksyen khas ini hanya untuk menerima aduan daripada orang ramai. Jadi, kita boleh fokus kepada aduan-aduan ini dan menjalankan siasatan dengan lebih berkualiti.
“Buat masa ini, semua aduan terhadap anggota polis sudah dipindahkan ke seksyen ini,†katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan Majlis Peguam Negara agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan, Yaacob berkata, ia satu langkah baik.
“Bagaimanapun, EAIC sudah ada struktur dan rangka kerja yang baik. Jadi kita sepatutnya memperkasa dan mengukuhkan rangka kerja ini agar menjadi lebih efektif seperti IPCMC,†katanya.
Sumber : Sinar Harian Online