RAUB - Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai dilarikan seorang lelaki mengaku anggota polis di rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, semalam.
Ibu mangsa Wan Maziah Wan Mat, 37, berkata, perkenalan anaknya, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 16, dengan lelaki tersebut yang bernama Faiz ketika anaknya keluar membeli buku adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Gali, semalam.
Menurutnya, lelaki itu bertemu dengan anaknya ketika singgah membeli pisang goreng di kedai berdekatan simpang Ulu Gali selepas pulang dari membeli buku untuk adiknya.
“Dekat situlah dia bertemu dengan seorang lelaki mengaku dirinya sebagai anggota polis yang meminta tolong untuk membawa balik motosikal yang didakwa baru dibelinya di kedai di Sungai Ruan.
“Lelaki itu kemudian mengikut anak saya pulang ke rumah dan saya telah bertemu dengannya dan telah memperkenalkan dirinya sebagai Faiz, seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sungai Ruan.
“Dia mahu meminta tolong anak saya mengambil motosikal baru dibelinya. Tanpa syak wasangka saya membenarkan Nur Syaminn mengikut lelaki berpenampilan kemas berusia lingkungan 20-an itu yang menaiki kereta berwarna silver," katanya hari ini.
Namun, Wan Maziah berkata, dia telah mendapat panggilan daripada anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ruan kira-kira jam 3 petang mengatakan bahawa gelang emas yang dipakai oleh anaknya telah diambil lelaki tersebut sebelum talian diputuskan.
Berikutan itu, dia telah membuat satu laporan dibuat di Balai Polis Sungai Ruan pada 4 petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dilakukan ibu mangsa
Menurutnya, hasil siasatan mendapati selepas mangsa mengikuti suspek yang berumur awal 30-an, mangsa telah menghubungi ibunya memberi tahu berada di pasaraya Tong Fatt, Raub, dan akan pulang ke rumah selepas itu.
“Sekali lagi mangsa menghubungi ibunya menyatakan dia berada di Gua Musang bersama dengan suspek dan memberitahu ibunya tidak perlu risau kerana dia berada dalam keadaan selamat. Dia akan balik dalam masa terdekat.
“Semasa sedang bercakap dengan mangsa, tiba-tiba panggilan telefon telah terputus dan ibunya cuba menghubungi mangsa beberapa kali tetapi gagal dan selepas itu, pengadu telah menerima pesanan ringkas dari mangsa menyatakan Ibu tak perlu risau dan selepas itu, ibunya tidak dapat menghubungi anaknya lagi,†katanya.
source : Sinar Online