Kuala Lumpur: Ketum bukan kategori dadah yang perlu dikawal sepenuhnya termasuk melarang penanaman secara komersil berikutan harganya tinggi untuk pasaran antarabangsa.
Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Malaysia agak ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand berkaitan penanaman ketum secara komersial walaupun idea berkenaan disuarakan oleh pihak tertentu negara ini.
“Malah, daun ketum juga berpotensi menjadi ubat penahan sakit yang cukup berkesan berbanding produk sedia ada di pasaran sekarang selain turut digunakan sebagai rawatan kepada penagih dadah.
“Ladang yang akan diusahakan nanti akan dikawal ketat oleh pihak berkaitan malah RISDA akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memantau penanaman terbabit supaya tidak disalah guna,†katanya.
“Ketum tumbuhan berguna untuk bidang perubatan dan idea menjadikannya sebagai tumbuhan komersial daripada negara ini sudah dipraktikkan negara lain yang mendatangkan keuntungan lumayan.
“Oleh itu, diharapkan pihak berkaitan memperkenalkan undang-undang bagi penanaman ketum dengan memberi peluang kepada pekebun kecil mengusahakannya secara terkawal,†katanya.
Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu mengambil kesempatan dengan harga ketum yang begitu tinggi di pasaran membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan mereka.
“Timbul masalah apabila daun ketum digunakan secara salah iaitu dicampurkan dengan bahan lain yang boleh memudaratkan kesihatan.
“Namun ladang ketum yang akan diusahakan nanti hanya bertujuan komersil dan bidang perubatan saja,†katanya.
Harian Metro semalam mendedahkan kewujudan berpuluh ekar ladang ketum haram di utara tanah air dengan kebanyakannya bertujuan memenuhi pasaran seludup ke negara jiran Thailand.
Sindiket didakwa memperolehi pendapatan sehingga ratusan ribu sebulan berikutan harga daun ketum yang mampu mencecah sehingga RM100 sekilogram di negara jiran.
Ini menyebabkan sindiket berlumba-lumba menyeludup daun ketum berbanding memprosesnya menjadi air khayal seperti dilakukan sebelum ini.
source : Metro Online