TANAH MERAH - Lebih 50 individu dikenakan tindakan oleh Jabatan Imigresen kerana memalsukan Enforcement Card (E-Kad) sejak permohonan kad sementara itu tamat pada 30 Jun lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kes pemalsuan E-Kad untuk pendatang asing tanpa izin (Pati) itu melibatkan majikan dan ejen pekerja asing yang didalangi sindiket warga tempatan  serta juga warga asing yang sudah lama tinggal di negara ini.

Katanya, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sebelum permohonan ditutup pada 30 Jun lalu apabila ada dalang yang cuba mengambil kesempatan dengan sindiket tertentu untuk membuat E-Kad palsu.

“Saya ingin tegaskan kepada semua pihak supaya jangan mencabar Jabatan Imigresen.

"Membuat E-Kad palsu ini salah di sisi undang-undang dan kita ambil tindakan tegas termasuk tangkap dan dakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Interaksi dan Amanat Ketua Pengarah Imigresen di Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah, semalam.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Datuk Moh Samsuddin Yusof dan Pengarah Imigresen negeri, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff.

Pada majlis itu, Mustafar turut menyaksikan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah dan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah oleh Jabatan Imigresen Kelantan.

Mustafar berkata, antara negeri paling banyak mencatatkan bilangan Pati dan mereka yang menjadi mangsa kes pemalsuan E-Kad termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

“Oleh kerana ramai Pati di tempat yang banyak peluang pekerjaan dan tempat melakukan aktiviti mereka, jadi negeri-negeri ini antara tertinggi. Tak mustahil negeri lain ada juga kes pemalsuan E-Kad tapi jumlah lebih kecil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mustafar berkata, hampir 8,000 Pati dan 186 majikan ditangkap atas pelbagai kesalahan Imigresen dalam Ops Mega E-Kad, bermula 1 Julai hingga semalam.

Katanya, operasi tersebut dijalankan bagi memburu majikan dan Pati yang ingkar terhadap perundangan negara apabila mengabaikan peluang mendaftar dalam program E-Kad.

“Daripada hampir 8,000 Pati yang ditangkap, warga Indonesia mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, diikuti Bangladesh dan negara lain seperti India dan Myanmar,” katanya.

E-Kad merupakan pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan yang sah untuk membolehkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen terus bekerja di sini.

Kad itu bagaimanapun akan tamat tempoh pada 15 Februari 2018 dan sebelum tempoh tersebut, pemegang kad perlu mendapatkan dokumen perjalanan sah dari kedutaan negara masing-masing bagi tujuan permohonan permit kerja atau berdepan dengan pengusiran.

Source :  Sinar Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.