ALOR SETAR 19 Julai - Seorang jurutera syarikat perunding di Langkawi diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah disyaki meminta dan menerima rasuah RM30,000.
Sumber SPRM Kedah berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 5.30 petang semalam di pejabat SPRM Cawangan Langkawi.
“Suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM30,000 daripada seorang subkontraktor berusia 40-an sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan kemajuan kerja bulanan yang dibuat oleh pengadu untuk mendapatkan tuntutan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),†katanya di sini hari ini.
Katanya, SPRM akan memohon perintah reman di Mahkamah Majistret Langkawi hari ini untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,†katanya.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
edit source : UTUSAN ONLINE