Pengguna dikhuatiri terpaksa membayar lebih untuk skim perlindungan kenderaan, selain ia tidak mengatasi masalah yang dikenalpasti Bank Negara pada 2007.

Nyahtarif insurans kenderaan bebankan pengguna kata CAP

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) khuatir nyahtarif insurans kenderaan yang akan bermula 1 Julai akan memaksa pengguna membayar lebih untuk skim perlindungan kenderaan.

Presiden S M Mohamed Idris merujuk kepada laporan memetik Persatuan Aktuari Malaysia (ASM) yang bersetuju kadar premium dijangka meningkat bagi perniagaan kenderaan, “yang akan menghasilkan penambahbaikan nisbah kerugian kenderaan” daripada mengalami kerugian semasa atau kedudukan pulang balik modal.

“Nyahtarif akan secara tidak sengaja menghukum pemandu yang baik oleh beberapa faktor, terutama sekali berdasarkan jantina, usia, perbatuan kereta dan pekerjaan pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nyahtarif memansuhkan struktur tarif seragam yang diselia Bank Negara Malaysia (BNM) dan membolehkan syarikat insurans menetapkan harga produk insurans kenderaan sendiri.

Menurut Idris, ia sebahagian daripada usaha meliberalisasikan industri insurans kenderaan yang diumumkan pada April 2017.

Dikatakan dengan ini, pengiraan premium insurans kenderaan akan ditentukan berdasarkan risiko – semakin tinggi risiko pemandu mengalami kemalangan, semakin tinggi harga insurans yang ditetapkan.

“Terdapat 27.61 juta kenderaan berdaftar di negara ini pada 2016 dan kesan nyahtarif ke atas setiap individu yang memiliki lesen kenderaan tidak dapat dibayangkan,” kata Idris.

Sebagai ganti nyahtarif, BNM digesa memperkenalkan Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) yang dicadangkan CAP pada 2010. Menurut Idris, kos NFL lebih rendah berbanding kebanyakan polisi insurans kenderaan semasa malah menangani masalah pengguna dengan skim insurans semasa.

Tambahnya, BNM sebenarnya sudah mengenal pasti senarai masalah yang dihadapi pengguna seawal 2007, seperti:

Akses yang tidak mencukupi terhadap perlindungan insurans pihak ketiga, terutama sekali bagi kenderaan perdagangan dan lama. Proses penyelesaian tuntutan yang panjang. Premium yang tidak disemak semula sejak 1978. Syarikat insurans enggan untuk menawarkan perlindungan insurans pihak ketiga memandangkan premium tidak mencukupi. Risiko mangsa kemalangan tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mencukupi.

Menurut Idris, sistem semasa berasaskan kepada prinsip “corrective justice”, yang menyebabkan tidak semua mangsa yang cedera dalam kemalangan kenderaan menerima pampasan, disamping pengguna terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebelum menerima pampasan.

“Dengan nyahtarif, tiada penambahbaikan ketara terhadap masalah yang dikenal pasti oleh BNM pada 2007. Amat mengejutkan bahawa BNM berterusan menyokong syarikat insurans bukannya orang ramai,” kata Idris.

Mengenai NFL, Idris mendakwa terdapat konsensus antara CAP, BNM dan pejabat peguam negara bahawa ia lebih baik dalam membantu mangsa kemalangan.

Antara kelebihannya ialah bayaran pengurusan dan guaman syarikat insurans dijangka berkurang memandangkan tiada lagi keperluan untuk membuktikan kesalahan, tiada lagi sebarang komisen kepada ejen, dan premium sedia ada sudah mencukupi.

“Pembiayaan juga boleh diperolehi daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana ia juga menangani tuntutan pekerja yang cedera dalam waktu kerja, termasuklah perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja mereka.”

CAP menggesa Malaysia mencontohi Australia, Amerika Syarikat dan Kanada yang melaksanakan EFL. Menurut Idris, Malaysia sebenarnya mempunyai kepakaran untuk mereka bentuk dan melaksanakan skim seperti NFL iaitu skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 1971.

“Pada hakikatnya, BNM berminat untuk melaksanakan NFL sehinggalah pada 2010 apabila BNM mengumumkan Rangkakerja Perlindungan Kenderaan Asas (BMCF).”

Sumber : Free Malaysia Today

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.