Ketua pengarah JPJ berkata, penguat kuasa agensi itu masih diperlukan di lapangan untuk tugasan lain seperti pemeriksaan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan.

JPJ AES ganti penguat kuasa pantau had laju

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyambut baik langkah Kementerian Pengangkutan menambah kira-kira 100 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk membolehkan pegawainya menumpukan tugasan lain dalam mendisiplikan pengguna jalan raya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, dengan adanya AES, JPJ dapat mengurangkan jumlah pegawai yang memantau had laju kenderaan.

“AES gantikan penguat kuasa JPJ di lapangan, dulu buat secara manual dan sekarang kita pakai AES. AES secara automatik transfer maklumat (kepada JPJ). Kita akan ambil tindakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, Kira-kira 100 kamera AES akan dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, tahun depan.

Beliau berkata, AES yang akan dipasang di lebuh raya dan jalan persekutuan itu dapat mendisiplinkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan kerana ia adalah sistem penguatkuasaan 24 jam.

“AES ini akan ditambah kerana kita (Malaysia) mempunyai matlamat untuk mengurangkan 50% kadar kemalangan menjelang 2020 seperti yang dipersetujui di peringkat dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Nadzri berkata, penguat kuasa JPJ masih diperlukan di lapangan untuk tugasan lain seperti pemeriksaan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan.

“Pegawai JPJ itu mesti ada dari segi rondaan, kita nak periksa lesen pemandu, kita tahu berdasarkan kepada operasi. Lihat lesen memandu motosikal, walaupun tak laju, tetapi lesen dan cukai jalan kena lihat juga.

“Kita boleh tumpukan kawasan lain dan pada masa akan datang, mungkin ada kamera yang boleh kesan kenderaan memotong di garisan berkembar atau pemandu menggunakan telefon ketika memandu,” katanya.

Sumber : Free Malaysia Today

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.