Kedua-dua agensi itu akan memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat, kepakaran, teknologi dan kajian masing-masing sebagai medium jalinan kerjasama strategik.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) setuju untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Bersama untuk memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa di agensi penguatkuasa.

Ini berikutan perbincangan Pengerusi EAIC Yaacob Md Sam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam dalam usaha menjalinkan kerjasama antara kedua-dua agensi itu.

Dalam kenyataan bersama, SPRM dan EAIC berkata kedua-dua agensi itu akan memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat, kepakaran, teknologi dan kajian masing-masing sebagai medium jalinan kerjasama strategik.

“SPRM dan EAIC sedia mengadakan operasi bersama pada masa akan datang agar isu-isu yang melibatkan bidang kuasa masing-masing akan dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh.

“Kerjasama ini juga sekali gus mampu memberi peluang kepada SPRM bagi merealisasikan matlamatnya untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam tempoh tiga tahun iaitu menjelang tahun 2020,” ia berkata.

SPRM dan EAIC berharap inisiatif kerjasama ini akan menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa kedua-dua badan ini amat serius dalam memerangi dan melumpuhkan jenayah rasuah serta salah guna kuasa, khususnya dalam kalangan pegawai dan anggota penguat kuasa.

Kini, terdapat 21 agensi penguatkuasaan persekutuan disenaraikan di bawah seliaan EAIC.

–Bernama

Sumber : The Berita Daily

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.