Alor Setar: Bekas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersubahat dengan kesalahan rasuah dilakukan penjawat awam pada Oktober 2014.

Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Ghani Abdul Mutalib, 58, selepas menimbangkan rayuannya serta hujah Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) A Hafiizh Abu Bakar.

Katanya, jika gagal membayar denda, tertuduh akan dihukum penjara lima bulan.

Mengikut pertuduhan, Abdul Ghani didakwa bersubahat kesalahan dilakukan oleh Muhammad Mat Sa'ad, 36, yang juga Pembantu Penguat Kuasa KPDNKK iaitu menerima wang tunai RM400 tanpa balasan daripada Md Zamri Md Saman, 50, pada 4 Oktober 2014, kira-kira jam 2 petang di gudang minyak tidak bernombor di Kampung Remia Manis, Padang Terap.

Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Abdul Ghani ketika merayu hukuman ringan memberitahu dia menghidap penyakit kencing manis dan kini bekerja di kilang selain sudah insaf dengan kesalahan dilakukannya.

Timbalan Pendakwa Raya A Hafiizh Abu Bakar berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.

Sementara itu, Muhammad mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 27 April depan bagi lantikan peguam dan membenarkan tertuduh yang kini bertugas di KPDNKK Kuala Krai, Kelantan dibebaskan dengan jaminan RM5,000 berserta seorang penjamin.

Dalam prosiding berasingan, seorang lagi anggota penguat kuasa KPDNKK, Ramli Baharom@Saad> turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Norzaishafril Shaffie, menerima RM200 daripada Zafizah Zakaria, 40, di tempat sama pada pada 24 September 2014, kira-kira jam 4.32 petang.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini ditangkap menerusi Ops Licin di sekitar Alor Setar Kedah pada Mac 2015 atas kesalahan menerima rasuah daripada pemilik gudang minyak haram sekitar Durian Burung, Pandang Terap untuk tidak mengambil tindakan undang-undang.

Resource : Harian Metro

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.