PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengingatkan hakim di negara ini bahawa tugas mereka bukan mudah dan boleh digalas sewenang-wenangnya tanpa persiapan rapi. Beliau berkata ini kerana keputusan seorang hakim boleh mengubah masa depan serta kedudukan dan kehidupan seseorang malah lebih penting lagi sesuatu keputusan mahkamah juga mampu mencabut hak dan kebebasan seseorang. "Tidak dinafikan semua ini dilakukan dalam rangka menegakkan hukum dan undang-undang semata-mata tetapi yang nyata profesion ini perlulah digalas dengan penuh rasa tanggungjawab kerana mereka sedang memikul amanah untuk menjalankan tugas dengan adil dan saksama. "Dalam menjalankan tugas anda sebagai seorang hakim, terdapat beberapa elemen penting yang harus dipenuhi termasuk memiliki mental yang kuat, bersifat tabah dan sabar serta mampu mengawal emosi dengan baik dalam setiap keadaan. "Kepentingan untuk semua hakim bersikap wajar dan waras terutama semasa membuat keputusan juga turut ditekankan dalam Islam yang mana mengikut perundangan Islam, hakim tidak dibenarkan memutuskan sesuatu perkara dalam keadaan emosi yang marah, lapar, sakit atau malas," katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Pada majlis itu, 11 hakim mengangkat sumpah taat setia dan tarikh pelantikan berkuatkuasa hari ini. Mereka adalah Rohani Ismail, Dean Wayne Daly, Mat Ghani Abdullah, Asmadi Hussin, Datin Zalita Zaidan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid. Selain itu, turut dilantik Anselm Charles Fernandis, Mohd Ivan Hussein, Ahmad Shahrir Mohd Salleh, Bexter Agas Michael dan Celestina Stuel Galid. Dalam pada itu, Arifin turut mengingatkan hakim mestilah sentiasa menghormati dan berpegang kepada sumpah jawatan yang dilafazkan dalam sistem keadilan yang kita amalkan dan hendaklah menghormati dan akur kepada keputusan mahkamah atasan. Resource : BH Online
Jadi hakim bukan mudah
- Butiran
- 569