Tahanan terbabit, S Balamurugan meninggal dunia di dalam lokap, dan beliau sepatutnya dibebaskan kerana mahkamah tidak membenarkan permohonan tahanan reman yang dimohon polis.

Enggan bebaskan tahanan pegawai polis ingkar disiasat

KUALA LUMPUR: Ketua polis negara berkata kertas siasatan dibuka terhadap pegawai polis yang dipercayai ingar arahan mahkamah hingga menyebabkan seorang tahanan meninggal dunia di dalam lokap.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kertas siasatan itu dibuka terhadap pegawai terbabit susulan kematian S Balamurugan, 44, ketika dalam tahanan.

“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 345 Kanun Keseksaan terhadap pegawai penyiasat polis kes itu yang tidak mematuhi perintah mahkamah untuk membebaskan si mati,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Balamurugan ditahan pada 6 Februari dan dibawa ke mahkamah keesokan harinya untuk permohonan reman polis. Mahkamah Majistret menolak permohonan perintah reman itu dan mengarahkan Balamurugan dibebaskan tetapi polis tidak membebaskannya.

Dia meninggal dunia dalam tahanan pada 8 Februari di balai polis Klang Utara dan menurut laporan berita, mangsa ditemui dalam keadaan mukanya lebam dan berdarah.

Bedah siasat pertama yang dijalankan di Hospital Klang menunjukkan dia meninggal dunia kerana “masalah jantung” dan keluarganya kemudian memfailkan permohonan bedah siasat kedua dilakukan. Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan itu.

Ahli patologi Hospital Kuala Lumpur kemudian mengenal pasti punca kematian sebagai “penyakit arteri koronari dengan beberapa kecederaan akibat dipukul dengan senjata tumpul”.

Dilaporkan, kira-kira 10 anggota polis ibu pejabat Klang Utara sedang disiasat berhubung kematian Balamurugan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan turut menyiasat kes itu.

Khalid berkata kenyataan doktor yang mengeluarkan keputusan bedah siasat buat kali kedua juga akan dirakamkan susulan keputusan yang tidak jelas.

“Kita masih tunggu laporan bedah siasat pertama. Kita belum terima laporan itu. Manakala bagi bedah siasat kedua yang dibuat keluarga, kita hanya terima laporan ringkas saja.

“Keputusan kedua tidak jelas, ringkas sangat. Kita akan panggil doktor yang melakukannya, kita rakamkan percakapan dia dan kita dapatkan keterangan lanjut,” katanya.

Sumber : Free Malaysia Today

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.