Pengerusi EAIC Datuk A Aziz A Rahim berkata agensi itu memandang serius dakwaan mengenai ketidakpatuhan dan penyalahgunaan kuasa polis apabila menahan Siti Kasim.
Datuk A Aziz A Rahim berkata EAIC akan meneliti perkara itu sama ada benar dakwaan mengenai ketidakpatuhan polis dalam menjalankan tugas dan fungsi mereka. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan meneliti penahanan peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim untuk menentukan sama ada polis mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila melaksanakan penahanan itu.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi EAIC Datuk A Aziz A Rahim berkata agensi itu memandang serius dakwaan mengenai ketidakpatuhan dan penyalahgunaan kuasa polis apabila menahan Siti Kasim.
“EAIC akan meneliti perkara itu… sama ada benar dakwaan mengenai ketidakpatuhan polis dalam menjalankan tugas dan fungsi mereka.
“Ini selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 28 Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) yang menyebut Suruhanjaya boleh memulakan penyiasatannya sendiri jika suruhanjaya berpuas hati perkara itu mempunyai kepentingan signifikan kepada orang ramai atau demi kepentingan awam,†kata beliau.
Siti Kasim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 12.40 tengah malam semalam kerana dikatakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas berikutan laporan polis yang dibuat seorang peguam yang mendakwa peguam itu menculik anak perempuannya berusia 24 tahun pada Khamis.
Bagaimanapun, polis membebaskan Siti Kasim selepas Mahkamah Majistret menolak permohonan bagi perintah reman.
Sumber : Free Malaysia Today