Bapa kematian anak di hospital swasta mohon campur tangan Menteri Kesihatan

Mohd Nazri menunjukkan laporan bedah siasat dan surat pemberitahuan kematian anak bongsunya, Wan Naufal Afeef, 11 bulan, yang kematiannya diklasifikasi sebagai 'tidak diketahui' oleh sebuah hospital swasta pada 2016. - BERNAMA

SHAH ALAM: Seorang bapa yang kematian anak lelakinya di sebuah hospital swasta dua tahun lepas merayu pihak berkaitan termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam agar campur tangan bagi merungkai punca sebenar kematian anaknya. Mohd Nazri Mohamad Yusof, 40, berkata ia berikutan tiada pihak yang tampil bagi membantu menyelesaikan perkara itu menyebabkan beliau gagal mendapatkan surat kematian anaknya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). "Dalam tempoh dua tahun sejak kematian Wan Naufal Afeef, pihak saya telah membuat aduan termasuk menghantar surat kepada pelbagai agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) bagi membantu saya mencari jawapan punca kematian anak saya. "Namun sehingga hari ini semua pihak berdiam diri... surat yang dihantar juga tidak mendapat sebarang respons dan disebabkan itu saya juga tidak boleh mendapatkan surat perakuan kematian anak bongsu saya itu daripada pihak JPN," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Mohd Nazri berkata apa yang lebih menyedihkan, laporan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 15 Julai 2016, turut menunjukkan punca kematian Wan Naufal sebagai tidak dapat dipastikan. "Setiap perkara yang berlaku mesti ada penerangan dan setiap kematian pasti ada penyebabnya. Bantulah kami untuk merungkai persoalan punca kematian Wan Naufal Afeef yang sehingga hari ini membuatkan kami tertanya-tanya. "Sudah dua tahun kami berusaha dan memohon bantuan semua pihak namun sehingga hari ini ia masih menjadi persoalan yang tidak terjawab," tambahnya. Menurut penguasa marin itu, mereka sekeluarga hanya mahu mengetahui punca kematian Wan Naufal Afeef kerana sepanjang hayatnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak pernah mempunyai masalah kesihatan lain. Sementara itu, isteri Mohd Nazri, Sharifah Nailul Muna Syed Mohamed Kamil, 39, mendakwa Wan Naufal Afeef disahkan meninggal dunia selepas pihak hospital tersebut memberi anaknya ubat antibiotik melalui titisan intravena. Susulan itu, Sharifah Nailul Muna berkata beliau dan suami kini sedang menunggu inkuiri yang akan dijalankan MMC pada 5 April depan sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil bagi menuntut keadilan ke atas kematian anaknya itu. -- Bernama

Sumber:  Astro Awani 

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.