Selepas buntu dengan polis, seorang balu kepada mangsa tembakan polis menggesa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyiasat kematian suaminya.
R Vaijentimala, 41 tahun, membuat laporan kepada Pengarah Operasi EAIC Muhammad Bukhari Abdul Hamid di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, hari ini.
Beliau kemudian diambil keterangan oleh seorang pegawai penyiasat selama lebih empat jam.
Isu tanah Felda macam cerita kartun, kata AMANAH
Peguamnya, Nurainie Haziqah, berkata beliau menyambut baik proses soal siasat yang dibuat secara terperinci dan menyeluruh, berbeza dengan pengalaman Vaijentimala sebelum ini dengan polis.
"Kami ke EAIC kerana telah hilang keyakinan dengan polis. Kami tidak mendengar apa-apa daripada mereka sejak 22 Disember lalu (ketika polis mengambil keterangannya), dan kami tidak fikir yang mereka serius dalam menyiasat kes ini.
"(Soal siasat) mengambil masa lama kerana EAIC tidak mahu menghubunginya (Vaitenjimala) banyak kali. Mereka mahu menyelesaikannya sekaligus. Dia juga agak berpuas hati.
"Mereka berjanji untuk menghantar surat kepada Vaitenjimala dalam masa seminggu, untuk memaklumkan sama ada akan membuka siasatan atau tidak," katanya kepada Malaysiakini.
Nuraine (dua dari kanan) berharap EAIC akan mengambil kes ini dan menyiasatnya dengan terperinci.
Beliau sebelum ini mendakwa ketika soal siasat dengan polis, Vaijentimala ditanya soalan peribadi yang tidak berkaitan dengan laporan yang dibuatnya.
Vaijentimala mahu siasatan terperinci terhadap anggota polis yang bertanggungjawab terhadap kematian suaminya.
Polis mendakwa suaminya, M Marimuthu, 41 tahun, dibunuh dalam kejadian tembak menembak di Tapah pada 24 Mei tahun lalu.
Polis berkata mendiang adalah ketua "Geng Pam", kumpulan yang aktif dalam kegiatan mencuri pam daripada jentera berat.
Menurut laporan, ketika melarikan diri daripada dikejar polis, dia menembak ke arah polis dan menyebabkan polis melepaskan tembakan balas.
Keluarga Marimuthu menyangkal dakwaan itu berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima.
Mereka berkata, laporan itu menunjukkan peluru masuk ke dada mangsa pada sudut 40 darjah dari atas, yang menunjukkan Marimuthu ditembak oleh seseorang yang berdiri di atasnya, bukannya ketika tembak menembak.