PORT DICKSON, 14 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyeru masyarakat supaya bertindak sebagai mata dan telinga kepada badan itu sekiranya mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku melibatkan anggota penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan. Pengerusi EAIC Datuk A. Aziz A. Rahim berkata ramai orang keliru dengan peranan EAIC kerana wujudnya agensi lain yang mempunyai fungsi teras yang agak sama namun pihaknya merupakan suruhanjaya yang perlu dirujuk sekiranya terdapat aduan berkaitan agensi atau anggota penguatkuasa. "Maka dengan program Jejak Mesra EAIC pada hari ini adalah untuk memperkenalkan EAIC kepada masyarakat, meyakinkan komuniti tempatan mengenai pihak kami sebagai saluran utama untuk mereka membuat aduan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab mereka dalam melaporkan sebarang salah laku. "Jika sebelum ini orang awam mungkin takut dengan tindak balas atau kurang yakin dengan tindakan yang diambil oleh agensi penguatkuasaan tersebut, kewujudan EAIC boleh mengatasi masalah tersebut kerana pengadu tidak perlu berurusan dengan pelaku atau agensi tersebut," katanya pada sidang media selepas Program Jejak Mesra EAIC Port Dickson di sini, hari ini. Turut hadir Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung M. Ravi dan Pengarah Operasi EAIC Datuk Muhammad Bukhari Ab. Hamid.....
Masyarakat diseru menjadi mata dan telinga EAIC
- Butiran
- 673